Thursday, April 17, 2008

Keangkuhan Penguasa didalam karya klasik.

Sebagaimana kita mengetahui sifat-sifat manusia adalah tidak sempurna dari segi moralnya jika tidak dikawal perasaan egonya. Menurut Carl Gustav Jung, roh atau atma jiwa (Psyche) manusia pada akarnya jauh dimasa silam. Pengalaman ketidaksedaran 'Unconscious Mind' dari dunia purba melalui berbagai generasi seolah-olah meninggalkan endapan padanya. Kepentingan menggali endapan pengalaman masa silam untuk lebih memahami masa sekarang dan masa hadapan dapat dicapai dengan berfikir secara jujur dan penuh keinsafan seperti memahami pengajaran yang dapat diambil dari pesanan zaman silam yang penuh dengan simbol-simbol untuk ditafsirkan. Kelakuan yang tidak rasional seperti sifat menghancurkan dan meruntuhkan satu peradaban seperti peperangan dan kekacauan politik adalah hasil mimpi manusia yang tidak dapat ditafsirkan, sedangkan mempunyai rahsia disebalik wajah dari pengalaman masa silam yang terkumpul tetapi tidak ditafsir dan dirungkaikan kerana ianya mengandungi banyak implikasi rahsia kehidupan yang tersembunyi. Manusia sebenarnya bukan tuan atas dirinya, kerana ada sesuatu yang lain, yang tersembunyi, yang harus dijalin kembali untuk menjadi miliknya kembali. Bila tidak terhasil, manusia akan menjadi tidak siuman selama hidupnya. Ini pendapat para pengkaji ilmu psikologi atau doktor penyakit atma jiwa.
Shahnameh dalam bahasa Parsi bermaksud kisah mengenai sejarah raja-raja Parsi di dalam sejarah Iran. Ianya adalah epik bagi bangsa Parsi setara dengan karya Illiad dan Odyssey. Digubah dan diceritakan dalam bentuk syair bahasa Parsi oleh penyair agung mereka yang bernama indah yakni Abolqasem Ferdowsi atau Ferdowsi. Disiapkan pada abad ke-11Masihi. Temanya seperti lazimnya berkisar mengenai kehebatan dan keperwiraan raja-raja dan perwira Parsi dizaman sebelum datangnya Islam yakni sebelum zaman Achaemenid dan Sasanian lagi. Leganda bermula dengan kisah Raja Kayumar adalah raja pertama bangsa Parsi dan leluhurnya, Rostam pahlawan terhandal bangsa Parsi, Percintaan Zal dan Rudabeh, Pemerintahan Sekandar atau Iskandar yang Agung, Raja yang adil atau gelaran Kesra Nushin-Ravan yang Adil dan menterinya yang bijaksana Bozorjmehr, dan paling menarik Raja Zahhak yang zalim mempunyai dua ular dibahunya akibat perbuatan iblis yang dilaknati.
Kisah Raja Zahhak Berular Dibahu.
Raja Jamshid memerintah Parsi dengan kekayaan dan empayar yang luas mula mengingkari dengan kuasa Tuhan dan mula bersifat angkuh kepada rakyat dan Tuhannya. Rakyat mulai benci kepadanya dan sifat kecahayaan atau icon dari cahaya ilahi yang dipanggil sebagai farr mulai suram dan berlakulah suasana tidak tenteram dalam pemerintahannya. Maka datanglah Raja Zahhak yang zalim dari benua Arab mengalahkannya. Zahhak juga bersifat curang kepada ayahandanya kerana mendapatkan takhta secara Pakatan=Conspirator dengan Iblis untuk menderhakai ayahnya itu. Tipu daya Iblis yang menyamar sebagai orang yang bijaksana telah menghasut Zahhak agar membunuh saja ayahnya itu kerana sudah tua dan tidak berguna lagi. Lantas diberinya gagasan yang jahat dengan iblis membuat sebuah lubang yang dalam dan ditutupi dengan daun-daunnan agar tersembunyi dari mata kasar ayahnya yang selalu berjalan ke tempat menyembah kepada Tuhan api yang suci. Apabila tibanya waktu fajar kelam diiringi oleh orang suruhannya; raja Merdas ini pun melalui tempat tersebut dan terjatuhlah ke dalam lubang tersebut lalu mangkat dan secara kebetulan pada hari itu baginda tidak membawa cahaya lampu ke tempat ibadat tersebut. Zahhak telah melakukan pengkhianatan kepada negaranya dan telah berpakat dengan Iblis yang menyesatkan!. Setiap perjanjian denga ilblis seumpama menjual jiwanya kepada Putera Kegelapan (Mephistopheles) seperti dalam karya Goethe yakni Dr Faust. Iblis masih tidak berpuashati untuk menyesatkan Zahhak dengan menyamar lagi sebagai pendita yang pandai menyediakan hidangan Diraja. Zahhak bersetuju dan digajinya Iblis sebagai tukang masak istana demi memenuhi nafsu makan yang rakus itu. Pada hari pertama dijamunya dengan telur untuk memberi tenaganya yang sihat, dipuji akan kelazatannya. Pada hari kedua hidangan daging burung, hari ketiga kebab kambing dan ayam, hari keempat daging lembu dengan herba saffron dan hidangan ini paling dipuji oleh Zahhak. Zahhak lantas menyuruh Iblis meminta apa sahaja untuk dimakbulkan oleh raja kerana kepandaiannya memasak. Iblis hanya meminta satu permintaan iaitu mengucup kedua belah bahu raja sahaja dan mengusap mukanya disitu sebagai tanda persahabatan. Lalu Zahhak membenarkan iblis mengucupnya dan apabila diciumnya kedua bahu baginda dengan serta-merta keluarlah ular hitam dikedua-dua bahu Zahhak, iblis terus lenyap dan raja berasa panik dan memenggal ular tersebut tetapi gagal kerana ianya tumbuh kembali semula. Tabib diraja gagal untuk membunuh ular tersebut, dan muncul Iblis dengan menyamar sebagai tabib dengan memberi penyelesaiannya iaitu memberi makan otak manusia kepada ular tersebut dengan harapan ular tersebut akan mati dalam kekenyangan. Nasihat apakah itu selain dari menjadikan dunia ini huru-hara akibat nafsu kepentingan raja! Selepas itu setiap malam dua orang rakyatnya jadi mangsa korban kepada ular raja Zahhak yang zalim. Setelah itu kezaliman semakin menjadi-jadi, dan Tuhan telah menolong rakyat Parsi dengan munculnya seorang pahlawan yang bakal menjadi Raja Empayar Parsi dan mengalahkan Zahhak itu, yakni bernama Feraydun. Dan Feraydun berjaya mengalahkan raja Zahhak dan mengurungnya secara dibelenggu dengan rantai besi di gunung Damavand.
P.S: Moral disini jangan mudah terpedaya dengan manusia yang mudah menaburi janji-janji yang indah untuk dilakukan demi kepentingan politik peribadi. Di Malaysia sekarang ini, ternampak ada seorang manusia yang pandai mengeluarkan retorik-retorik indah dan janji-janji politik untuk mengubah dunia. Namun kita harus berwaspada dengan prinsip-prinsip Liberal yang dibawakannya sehingga mengadaikan kontrak sosial yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Negara!. Sebelum ini, tokoh ini cenderung dengan dasar IMF gaya Barat dan ternyata jalan yang dipilih itu ternyata tersesat. Dan sekarang ini cenderung untuk mendapatkan undi dengan mengutarakan dasar KETERBUKAAN dan KESAKMAAN tanpa had dan sempadan. Adakah dasar ini tepat dan sesuai dengan negara kita? Al-Masih Dajjal sekarang sedang muncul-muncul dimana-mana, dan kita boleh melihat dengan simbol mata Freemason- Illuminati disalah satu lambang parti diMalaysia! Adakah simbol ini muncul secara tidak semena-mena! dan ianya sudah pasti adalah lambang gerakan illuminati.

Tuesday, April 15, 2008

Karl Marx 1818-1883

Dikenali sebagai Bapa Dialektika Materialisme, mewarisi idea falsafah George Wilhelm Friedrich Hegel (1770-1831) yang terkenal dengan Dialectic Idealism. Hegel yang hidup diabad Aufklarung atau zaman Kecerahan idea membawa gagasan bahawa pemikiran itu ataupun idea merupakan sumber pergerakan dunia ini. Idea baginya satu percubaan untuk menetapkan apakah yang rasional dan yang tidak rasional. Bagi Hegel "The real is the rational" adalah penetapan idea yang mutlak tanpa dipengaruhi idea yang niskala atau absurd. Proses ini dinamakan sebagai Dialektik. Idea-idea yang timbul mesti melalui satu proses dialektik atau dialog keintelektualan yang mempunyai tiga serangkai, I) Thesis, II) Anthithesis dan III) Synthesis.
Apa yang dimaksudkan i) Thesis-ianya idea yang sah. Kemudian idea ini didatangi idea yang baru yang menentang hujah pertama dengan kritikan dan ini dipanggil ii) Antithesis, ianya melawan idea yang pertama dan tidak relevan lagi setelah ditapis dan dianggap idea yang mempunyai kebenaran dan idea yang sah ini bertukar kepada iii) Synthesis.
Contohnya, kita lihat pada A lebih mutlak pada dasarnya, tetapi B mempunyai kewibawaan yang mutlak dari A maka B adalah lebih utama dari A, namun begitu ianya tidak kekal kerana ada yang lebih baik dari B maka terjadi negasi, tidak relevan lalu C mengambil tempat sebagai thesis yang baru dan proses ini akan berulang tanpa penghujungnya.
Maka datanglah seorang pemikir dari German bukannya Rusia seperti yang difahami oleh semua orang mengenai Karl Marx dan telah meninggal dunia dalam suaka politik di London. Walaupun ideanya dikatakan tidak relevan dan ketinggalan zaman tetapi berkesan dan ideologinya masih dikaji dalam lembaran buku-buku yang mengubah dunia. Mengambil idea dari mahagurunya Hegel dari Universiti Berlin, Karl Marx mengubah idea Dialektik kepada Dialetikal Materialisme. Menurutnya, semua asas dan materi dunia adalah perkara-perkara material atau kebendaan, manusia yang memandang kepada materialisitik!.Thesisnya asas kebendaan atau kewujudan sosial adalah suatu yang mempengaruhi kesedaran dan bukan kesedaran yang mempengaruhi kebendaan atau kewujudan sosial. "Is is not the consciousness of man that determines their being but on the contrary it is their social being (existence) that determines their conciousness". Faktor kebendaan adalah asasnya yang mengerakkan dunia dan ianya memberi kesan kepada politik kerana materialisme punca segala kehuruharaan dunia ; apabila perang semua melawan semua untuk merebutkan sumber yang terhad. Evolusi sejarah manusia digerakkan oleh faktor kebendaan dari zaman purba, apabila orang yang mula memagari tanahnya dan mengakui itulah haknya, maka bermulalah persengketaan manusia, dan berterusanlah kezaman Feudal, Renaissance, Borjuis-Kapitalis, dan ini adalah kemuncak penindasan kepada kelas pekerja kerana ditindas oleh kelas kapitalis yang kaya yang tidak menyediakan ruang kebajikan kepada pekerjanya. Kita boleh merasai penderitaan kelas pekerja dalalm karya Charles Dickens mengenai kehidupan setinggan para pekerja di pinggir kota London dari cerita "Oliver Twist". Timbul konflik, pengasingan (Alienation), antara kelas Kapitalis (pemilik tenaga pengeluaran) melawan Proletariat (kelas pekerja yang dieksploitasi). Karl Marx adalah pejuang kepada kelas yang tertindas mengesyorkan tiada jalan lain selain mengadakan revolusi menentang mereka untuk mewujudkan dunia yang Utopia apabila negara dibebaskan dari kelas kapitalis, mereka dapat mewujudkan masyarakat tanpa kelas dan negara tanpa sempadan untuk mewujudkan Regim Kediktatoran Proletariat!. Baginya, ini adalah thesis pada penamat sejarah dunia, negara Komunis fasa terakhir pada abad idelogi. Namun, ironinya teori beliau tidak menepati kehendak dizaman kontemporari ini, kerana pada Francis Fukuyama dalam bukunya "The End of History and the Last Man", idea Demokrasi Liberal adalah penutup segala sejarah dan menjadi satu angkubah yang dominan. Alangkah optimisnya pendapat beliau, kerana zaman yang mendatang sentiasa berubah dengan idea yang sering berubah-ubah, seiring dengan pendapat Hegel bahawa dunia ini digerakkan oleh peranan idea yang dianugerahkan oleh Tuhan yang Maha Kuasa. Kita tidak boleh meramal untuk zaman akan datang apakah idea yang timbul seperti zaman kontemporari ini dengan idea yang muluk-muluk seperti Globalisasi, Liberal-Demokrasi, kebebasan tanpa had dan sebagainya. Kita jangan lupa pada tahun 1789, Revolusi Perancis atas nama kebebasan beribu-ribu mangsa politik terpaksa dikorbankan dan bertahun-tahun lamanya barulah keamanan diwujudkan atas dasar kebebasan mutlak dan mewujudkan negara sekular. Idea manusia senantiasa berubah-ubah demi memenuhi selera kepentingan politik masing-masing, bertepatan dengan idea Machiavelli, "The end justifies the means' atau matlamat menghalalkan cara.
Satu pujian patut diberikan kepada Karl Marx untuk kita mengambil iktibar darinya terutama dalam usaha pencarian ilmu. Beliau hidup dalam buangan di London, hidup melarat bersama isteri dan anak-anak perempuannya. Pernah memajakkan kotnya dipajak gadai untuk menampung kehidupannya. Hidup dalam kemiskinan dan tiga anaknya mati dalam keadaan melarat kerana kesempitan wang. Untuk menampung kehidupan hanya melalui pekerjaan sebagai penulis artikel di suratkhabar untuk melahirkan gagasannya mengenai pergerakan revolusi Komunis. Rutin hariannya menulis secara tekun di perpustakaan British Museum dengan membaca dan menulis dimeja yang sama setiap hari, dari pukul 9pagi hingga ke pukul 7malam apabila muzium itu ditutup; dan kerja ini disambung kerumah sehingga ke waktu malam tanpa henti. Beliau menulis dalam keadaan penuh ketekunan, banyak membaca, kritikal, teruja dengan setiap lautan buku di perpustakaan sehingga menjejaskan kesihatan dan pernah tidak pernah tidur tiga hingga empat malam harinya. Namun jelas usahanya tidak sia-sia, berjaya menulis buku yang berpengaruh kepada dunia yakni Das Capital pada tahun 1867. Namanya dicatatkan dalam notakaki sejarah pemikiran manusia dengan slogan yang terkenal "Let the ruling classes tremble at a communist revolution. The proletarians have nothing to lose but their chains. They have a world to win. Workers of the world unite!"

Monday, April 14, 2008

Magnum Opus Peradaban Melayu.

Bermaksud karya agung sesuatu bangsa yang diwarisi turun-temurun dari sudut kepentingan ilmu dan peradaban bangsa dan dalam kes ini bangsa Melayu. Kita orang Melayu terlalu memuja secara berlebihan kepada budaya luar dan melampaui pengetahuannya berbanding dengan khazanah budaya Melayu itu sendiri. Jika kita mengetahui karya Iliad dan Odyssey itu dari dunia Greek, Aeneid karya Virgil untuk bangsa Rom, Ramayana oleh Valmiki dan Sakunthala oleh Kalidasa dari zaman Veda, Romance of Three Kingdom (Sanguo Yan Yi) dari Middle Kingdom dan senarai karya ini berlarutan ke dunia bawah angin hingga ke atas angin tetapi orang Melayu apakah karya agung kita?


Karya Agung bangsa Melayu terdiri dari dari dua kitab, i) Sejarah Melayu atau Sula-latu 'l-Salatin, yakni peraturan segala raja-raja, karya Tun Seri Lanang atau Tun Muhammad Bendahara Paduka Raja. Beliau mangkat dalam tawanan perang di Acheh semasa Johor ditewaskan oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam.

ii) Hikayat Hang Tuah yang ditulis oleh pengarang yang tidak mahu dituliskan namanya atas dasar kepentingan ilmu lebih utama. Diiktiraf sebagai Epik Peradaban Melayu.

Kedua karya agung ini dinaikkan darjat sebagai khazanah bangsa dan diperakui oleh Unesco.


Namun demikian, berapa keratkah anak-anak muda sekarang yang membaca dan menghayatinya selain dari aliran sastera dan pengkaji peradaban Melayu dan jangan terpegun orang dari Rusia lebih mahir akan kitab ini kerana dikaji secara mendalam dalam jurusan mereka. Memang disedari apa kepentingan karya yang dikatakan tidak relevan pada masa sekarang terutama gaya bahasa klasiknya susah difahami dan terasa lucu apabila cuba dibawa berbicara mengenainya. Mereka jangan lupa bangsa Barat walaupun maju dalam dunia Sains dan Teknologi, tidak pernah lupa mengenai akar umbi peradaban bangsa dan setiap perpustakaan rumah mereka mengandungi karya-karya sebegini dan diwajibkan untuk lulus dalam peperiksaan walaupun bukan beraliran Sastera!. Sekarang bangsa Melayu khususnya sudah mulai lupa akan karya ini dan hasilnya hilang semangat jatidiri dan nasionalisme bangsa sehingga alpa dan tidak tahu apakah itu ketuanan Melayu dan jadilah Melayu liberal secara ironinya. Bangsa Yahudi walaupun dihina berkali-kali sehingga dua kali Haikal Suleiman dibakar oleh Raja Nebuchadrezarr pada tahun 586S.M. dan serangan kedua oleh Emperor Vespasian pada 70A.D., dihalau dari Jerusalem namun masih berpegang kepada tradisi ilmu dan peradaban Yahudi yang berbangga dengan tradisi mereka tanpa melupakannya sama sekali walaupun diaspora di negara asing. Kitab Torah dan Talmud adalah peradaban mereka dibaca berulang-ulang kali untuk mengubat luka yang silam dan merungkai misteri mereka kenapa Yahweh menyingkirkan mereka dari tanah suci mereka. Hasilnya mereka merampas kembali tanah yang dijanjikan kepada mereka itu berpandukan panduan kitab kuno mereka yang dipandang remeh tapi masih ada bersignifikan dan mempunyai kekuatan kerana kepandaian para bijakpandai bangsa Yahudi
ini.


Sejarah Melayu (Sula-latu 'I-Salatin)


Sinopsisnya. Mengisahkan jurai keturunan Raja-Raja Melaka dari Kesultanan Melayu Melaka ini berasal dari keturunan Raja Iskandar Zulkarnain (Alexander The Great) dan diturunkan di Bukit Siguntang Mahameru di Palembang, Sumatera. Dianggap kisah separa Sejarah kerana mengandungi unsur mitos seperti manusia dari dilahirkan dari muntah lembu, kisah Badang, Naga dan Singapura dilanggar todak. Namun ada kepentingan sejarah terutamanya pembukaan Singapura dibuka oleh Sang Nila Utama dan bukannya bangsa Eropah, pembukaan Melaka, hubungan Melaka dengan Alam Melayu, Asia Tenggara, China, India, Arab dan Eropah. Kisah pathos atau unsur sedih yang menyentuh perasaan seperti dalam cetera ke-33 yakni peristiwa pembunuhan sekeluarga Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, Seri Nara Diraja, Tun Hasan Temenggung dan Tun Ali suami kepada Tun Fatimah. Kejadian akibat pakatan (conspiracy) Raja Mendeliar, Laksamana Khoja Hasan dan Si Kitul menfitnah keluarga bendahara ini hendak menderhaka Sultan Mahmud Shah. Raja Melaka ini seperti orang mengantuk disorongkan bantal kerana mengidamkan Tun Fatimah dan berdendam kepada Bendahara tidak menjodohkan anaknya kepada Sultan yang bermata keranjang ini, tanpa usul periksa menjatuhkan hukuman yang zalim ini. Inilah salah satu faktor kejatuhan Melaka ke tangan Portugis kerana Bendahara ini berkarisma tinggi tetapi tidak lama hayatnya kerana intrigue istana. Ramai tidak tahu bahawa walaupun Tun Fatimah telah menjadi permaisuri Melaka, beliau masih tidak sudi memelihara benih Sultan dan melakukan pengguguran kerana bencikan baginda. Kisah Sultan ini dilanjutkan dengan fiil 'yang beraja dimata bersultan dihati' dalam cetera ke-27 kisah peminangan Puteri Gunung Ledang yang penuh dengan unsur wit, humor dan personifikasi untuk menyindir Sultan Mahmud Shah yang menginginkan calon isteri yang luar biasa seperti orang bunian contohnya. Pantun yang indah menyindir Sultan telah dicipta oleh Tun Seri Lanang secara tidak langsung;

Kononya bunga-bunga air mawar di taman Puteri Gunung Ledang pandai berpantun dan berkata kepada Tun Mamat, utusan Sultan lalu berpantun mersik suaranya;


Sana sini gigi menimang,

Hendak makan ikan dalam telaga;

Lagi lemak telur berlinang,

Sisiknya lekat kepada dada.

Maksudnya: Sultan Mahmud Shah ini melupai akan penderitaan rakyat kerana hajat dan nafsunya yang luar biasa ini boleh menyebabkan kesusahan kepada negara.


Bunga tanjung biru pun membelinya;

Dang Nila memangku puan,

Berembang buah pedada,

Adakah gila bagimu tuan?

Burung terbang dipipiskan lada.

Maksudnya: Urusan peminangan ini sudah tentu usaha yang sia-sia kerana sudah tentu akan gagal sama sekali kerana mustahil manusia hendak berkahwin dengan makhluk dialam lain!


Banyak kisah-kisah menarik dipaparkan melalui pembahagian dan jumlah babnya sampai ke cetera ke-34 jumlahnya. Dikatakan dalam hikayat ini, Tun Hasan Temenggung anak Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir adalah orang yang pertama melabuhkan baju Melayu, membesarkan pangkal lengan tangan dan memanjangkan tangannya dalam bab ke-27. Penderhakaan Hang Jebat dan pembuangan Laksamana Hang Tuah pada zaman Sultan Mansur Shah terdapat pada cetera ke-16 yang penuh dengan falsafah politik dan moral, penuh emosi dan kesan yang dramatik. Kesan didaktik atau pengajaran ini masih kekal utuh kepada Weltanschauung orang Melayu. Namun begitu Kesultanan ini dapat membina empayar hampir ke seluruh Asia Tenggara dan mendapat pengiktirafan dari Kerajaan Siam dan China, suatu pencapaian yang mengagumkan. Pelabuhan Melaka dikenali sebagai pelabuhan Emporium di timur dan dicemburui oleh kuasa Portugal, bahasa Melayu menjadi Lingua-Franca dan pusat keintelektualan peradaban Melayu Islam selain dari kerajaan Pasai, Acheh dan di Kepulauan Jawa. Jika tidak kerana kelemahan dalaman dan penaklukan oleh orang Ferringi ini, orang Melayu sudah tentu dikenali sebagai pedagang dan peniaga yang pandai diseluruh dunia!, tetapi terbantut kerana kehilangan kuasa dan tentu menjadi pengajaran berguna kepada masa sekarang ini kerana kekalutan dan perpecahan berada di depan mata kita sekarang.


Demikian sahaja ulasan mengenai Sejarah Melayu ini. Ianya harus dibaca dan diambil teladan kerana pada pendapat sarjana yang mengkajinya ianya seumpama kitab panduan kepada anak watan yang cintakan bangsa dan tanahairnya. wasallam.


"Oh ahli falsafah yang tercinta!

Biarlah kita tangisi dan raungi nasib para ahli falsafah.

Kita masih begitu jauh sekali dari Zaman Keagungan Akal."


kata Diderot mengadu kepada Hume dengan penuh kehampaan, tentang nasib anak bangsanya.


"Those who do not remember the past are condemmed to repeat it"
George Santayana.
Ps. Ikutlah dan patuhilah pesan Tun itu! Berundurlah secara terhormat.

Sunday, April 13, 2008

Apakah sebenarnya maksud Ilmu Falsafah?

Adakah falsafah itu dikatakan tidak relevan atau kaitan dengan kehidupan manusia sehari-hari? Kita juga mengambil mudah dengan ilmu falsafah sebagai ilmu yang dikatakan ketinggalan zaman disaat ilmu sains dan teknologi menunjukkan kekuasaanya diabad sekarang ini. Namun begitu manusia akan terus berfalsafah apabila mengemukakan persoalan-persoalan secara spontan seperti "Apakah itu Keadilan? Kebenaran? Kebaikan? Kejahatan? Cinta? dan seumpamanya. Sebagai contoh, kita akan menyoalkan kewajaran Pihak Nazi melakukan Holocaust semasa Perang Dunia Kedua itu bermoral atau tidak? tetapi bagaimana pula dengan tindakan Zionisme terhadap orang Arab di Palestin?. Justeru apabila kita mengemukakan persoalan terhadap perkara yang tidak pasti dan menyiasatnya kita telah memasuki kealam berfalsafah secara tidak disedari. Falsafah adalah berfikir tentang berfikir. Bila manusia berfikir mengenai dirinya dan semangat zamannya atau dikenali sebagai Zeitgeist, maka kita menyedari kita berfikir mengenai bagaimana kita berfikir.Terasa aneh, tetapi itu adalah hakikat sebenarnya.
Definisi Falsafah.
Berasal dari perkataan Yunani, Philo-Sophos yang bermaksud "pencinta kebijaksanaan". Ilmu ini berasal dari tanah kelahiran peradaban Barat yakni Greece atau Yunani. Bagi tanggapan orang Yunani, mereka yang berfalsafah mempunyai kebijaksanaan yang melampaui kemampuan insani. Memiliki kebijaksanaan tidak akan terpukau dengan nafsu dunia, manusia akan mencapai satu macam Nirwana Kefalsafahan, padanya tiada sesuatu yang bermakna yang boleh diperkatakan mengenai apa-apa pun. Socrates, Plato dan Aristotle adalah mahaguru ilmu falsafah yang tidak disangkal lagi sebagai pendiri kepada ketamadunan manusia sejagat. Socrates sebagai bapa falsafah moral, Plato menurut ahli falsafah moden iaitu Alfred North Whitehead telah menyatakan bahawa didalam lembaran buku peradaban Barat semuanya adalah terdiri dari notakaki kepada gagasan Plato,
"The safest general characterization of the whole Western philosophical tradition is that it consists of a series of footnotes to Plato"
Aristotle bapa ilmu pengetahuan dan orang pertama yang membuat pembahagian ilmu pengetahuan kepada pecahan-pecahan berikut seperti logika, kategori-kategori, biologi, fizika, metafizika, etika, politik, puisi. Aristotle malah melampaui ketinggian keilmuan Plato dengan mengatakan "Amicus Plato, sed magis amica veritas" Plato kukasihi, namun aku lebih mengasihi kebenaran. Falsafah ialah suatu perkataan yang digunakan dalam banyak cara dan interpretasinya. Rukun Negara, Pancasila, Declaration of Independence , Declaration des droits de l'homme, Manifsesto Komunis dan gagasan-gagasan yang lainnya adalah falsafah dari sudut falsafah politik. Nilai kecantikan bangunan Parthenon oleh Phidias dipandang dari sudut Estetika iaitu dari falsafah seni. Namun jika kita dilarang memakan khinzir atau melanggar perintah sepuluh rukun iman Ten Commandments ianya telah memasuki ke bidang ilmu teologi (agama).
Falsafah secara lebih jelas menurut Bertrand Russell dalam bukunya History of Western Philosophy adalah "Philosophy, as I shall understand the word, is something intermediate between theology and science". Atau secara lebih jelas ilmu falsafah adalah suatu pertengahan antara bidang teologi dan sains, kedudukannya adalah paksi penimbang dan neraca keadilan antara dua bidang ilmu. Ini disebabkan ilmu sains mengunakan penyelidikan secara reason atau penaakulan manakala ilmu teologi mengandungi spekulasi pengetahuan yang dogmatik, terjadi lompang kosong antara dua cabang ilmu ini yang menjadi kawasan yang terbuka yang terdedah kepada serangan daripada kedua-dua pihak; yakni ilmu falsafah. Bagi Karl Marx, ilmu falsafah bukan sekadar menyediakan idea yang muluk-muluk seperti retorik-retorik politik sekarang ini yang sedang berbulan madu meraikan kemenangan yang tidak pasti dengan mengatakan "Jika kita berkuasa, kita akan mencipta sebuah syurga keadilan!", Menurut Karl Marx dalam bukunya Eleven Theses on Feuerbach, 1845, persoalan sebenarnya kebenaran dan kuasa pemikiran mestilah dibuktikan secara realiti dan praktikal, bukan sekadar agenda didalam pemikiran yang sesat tanpa arah tujuan tetapi telah menyatakan "Philosophers have only interpreted the world in various ways, but the real task is alter it" (Ahli falsafah hanya telah mengulas dunia dengan pelbagai cara, tetapi tugas yang sebenar ialah untuk merubahkannya). Walaupun kita tidak menyetujui dengan idea komunis dan teori Dialetikal Materialisme, namun Karl Marx membuktikan kuasa gagasannya melalui pemikiran falsafah telah membuahkan hasil dan menjadi realiti dan signifikan kepada sejarah abad keduapuluh dengan separuh suku dari penduduk dunia menerima ideologi Marxisme. Satu impak maksima dari kuasa pemikiran seorang pemikir. Jangan memandang rendah akan ilmu kemanusiaan ini sekiranya kita terlalu menumpukan kepada ilmu pasti yakni sains sahaja. Sesungguhnya falsafah dan agama mempunyai kecenderungan melampaui metafizik yakni tidak dapat diperjelaskan dari sudut sains yang terlalu mementingkan fakta dari sudut pandangan pancaindera (emperical). Disini kita amat bersetuju dengan kata Albert Einstein bahawa "Science without religion is lame, religion without science is blind". Para sarjana juga menyatakan bahawa ilmu falsafah ini berguna kepada manusia sebelum turunnya ilmu wahyu dari langit kerana kebanyakan perintis kepada ilmu falsafah seperti Socrates hidup sebelum kelahiran Isa a.s., antara kata-kata hikmatnya 'Aku ini adalah dukun beranak (midwife) yang membantu orang untuk melahirkan. Bukan untuk melahirkan anak, tetapi melahirkan gagasan'. Adapun kita membincangkan topik ini sekadar untuk membuka minda kita akan kepentingan ilmu segala ilmu yang akan membantu kita memahami lebih dalam hakikat kejadian alam dan manusia seiring dengan ilmu agama dan sains itu sendiri. Diakhiri dengan kata ahli sejarawan Rom yang bernama Cassius Dio di dalam bukunya The Roman History: The Reign of Augustus : 'I found Rome built in clay: I leave it to you in marlble'. Kita adalah penentu dan pencorak generasi berilmu di masa hadapan. Didiklah anak watan dengan lebih tekun membaca dan belajar kepada ilmu yang berguna.

My first blogging

Akhirnya dapat juga saya meluahkan perasaan dan gagasan mengenai perkara dan isu-isu semasa. Menerusi pandangan falsafah, sejarah, metafizik, dan kepelbagaian dari segala cabang ilmu pengetahuan.