Tuesday, April 15, 2008

Karl Marx 1818-1883

Dikenali sebagai Bapa Dialektika Materialisme, mewarisi idea falsafah George Wilhelm Friedrich Hegel (1770-1831) yang terkenal dengan Dialectic Idealism. Hegel yang hidup diabad Aufklarung atau zaman Kecerahan idea membawa gagasan bahawa pemikiran itu ataupun idea merupakan sumber pergerakan dunia ini. Idea baginya satu percubaan untuk menetapkan apakah yang rasional dan yang tidak rasional. Bagi Hegel "The real is the rational" adalah penetapan idea yang mutlak tanpa dipengaruhi idea yang niskala atau absurd. Proses ini dinamakan sebagai Dialektik. Idea-idea yang timbul mesti melalui satu proses dialektik atau dialog keintelektualan yang mempunyai tiga serangkai, I) Thesis, II) Anthithesis dan III) Synthesis.
Apa yang dimaksudkan i) Thesis-ianya idea yang sah. Kemudian idea ini didatangi idea yang baru yang menentang hujah pertama dengan kritikan dan ini dipanggil ii) Antithesis, ianya melawan idea yang pertama dan tidak relevan lagi setelah ditapis dan dianggap idea yang mempunyai kebenaran dan idea yang sah ini bertukar kepada iii) Synthesis.
Contohnya, kita lihat pada A lebih mutlak pada dasarnya, tetapi B mempunyai kewibawaan yang mutlak dari A maka B adalah lebih utama dari A, namun begitu ianya tidak kekal kerana ada yang lebih baik dari B maka terjadi negasi, tidak relevan lalu C mengambil tempat sebagai thesis yang baru dan proses ini akan berulang tanpa penghujungnya.
Maka datanglah seorang pemikir dari German bukannya Rusia seperti yang difahami oleh semua orang mengenai Karl Marx dan telah meninggal dunia dalam suaka politik di London. Walaupun ideanya dikatakan tidak relevan dan ketinggalan zaman tetapi berkesan dan ideologinya masih dikaji dalam lembaran buku-buku yang mengubah dunia. Mengambil idea dari mahagurunya Hegel dari Universiti Berlin, Karl Marx mengubah idea Dialektik kepada Dialetikal Materialisme. Menurutnya, semua asas dan materi dunia adalah perkara-perkara material atau kebendaan, manusia yang memandang kepada materialisitik!.Thesisnya asas kebendaan atau kewujudan sosial adalah suatu yang mempengaruhi kesedaran dan bukan kesedaran yang mempengaruhi kebendaan atau kewujudan sosial. "Is is not the consciousness of man that determines their being but on the contrary it is their social being (existence) that determines their conciousness". Faktor kebendaan adalah asasnya yang mengerakkan dunia dan ianya memberi kesan kepada politik kerana materialisme punca segala kehuruharaan dunia ; apabila perang semua melawan semua untuk merebutkan sumber yang terhad. Evolusi sejarah manusia digerakkan oleh faktor kebendaan dari zaman purba, apabila orang yang mula memagari tanahnya dan mengakui itulah haknya, maka bermulalah persengketaan manusia, dan berterusanlah kezaman Feudal, Renaissance, Borjuis-Kapitalis, dan ini adalah kemuncak penindasan kepada kelas pekerja kerana ditindas oleh kelas kapitalis yang kaya yang tidak menyediakan ruang kebajikan kepada pekerjanya. Kita boleh merasai penderitaan kelas pekerja dalalm karya Charles Dickens mengenai kehidupan setinggan para pekerja di pinggir kota London dari cerita "Oliver Twist". Timbul konflik, pengasingan (Alienation), antara kelas Kapitalis (pemilik tenaga pengeluaran) melawan Proletariat (kelas pekerja yang dieksploitasi). Karl Marx adalah pejuang kepada kelas yang tertindas mengesyorkan tiada jalan lain selain mengadakan revolusi menentang mereka untuk mewujudkan dunia yang Utopia apabila negara dibebaskan dari kelas kapitalis, mereka dapat mewujudkan masyarakat tanpa kelas dan negara tanpa sempadan untuk mewujudkan Regim Kediktatoran Proletariat!. Baginya, ini adalah thesis pada penamat sejarah dunia, negara Komunis fasa terakhir pada abad idelogi. Namun, ironinya teori beliau tidak menepati kehendak dizaman kontemporari ini, kerana pada Francis Fukuyama dalam bukunya "The End of History and the Last Man", idea Demokrasi Liberal adalah penutup segala sejarah dan menjadi satu angkubah yang dominan. Alangkah optimisnya pendapat beliau, kerana zaman yang mendatang sentiasa berubah dengan idea yang sering berubah-ubah, seiring dengan pendapat Hegel bahawa dunia ini digerakkan oleh peranan idea yang dianugerahkan oleh Tuhan yang Maha Kuasa. Kita tidak boleh meramal untuk zaman akan datang apakah idea yang timbul seperti zaman kontemporari ini dengan idea yang muluk-muluk seperti Globalisasi, Liberal-Demokrasi, kebebasan tanpa had dan sebagainya. Kita jangan lupa pada tahun 1789, Revolusi Perancis atas nama kebebasan beribu-ribu mangsa politik terpaksa dikorbankan dan bertahun-tahun lamanya barulah keamanan diwujudkan atas dasar kebebasan mutlak dan mewujudkan negara sekular. Idea manusia senantiasa berubah-ubah demi memenuhi selera kepentingan politik masing-masing, bertepatan dengan idea Machiavelli, "The end justifies the means' atau matlamat menghalalkan cara.
Satu pujian patut diberikan kepada Karl Marx untuk kita mengambil iktibar darinya terutama dalam usaha pencarian ilmu. Beliau hidup dalam buangan di London, hidup melarat bersama isteri dan anak-anak perempuannya. Pernah memajakkan kotnya dipajak gadai untuk menampung kehidupannya. Hidup dalam kemiskinan dan tiga anaknya mati dalam keadaan melarat kerana kesempitan wang. Untuk menampung kehidupan hanya melalui pekerjaan sebagai penulis artikel di suratkhabar untuk melahirkan gagasannya mengenai pergerakan revolusi Komunis. Rutin hariannya menulis secara tekun di perpustakaan British Museum dengan membaca dan menulis dimeja yang sama setiap hari, dari pukul 9pagi hingga ke pukul 7malam apabila muzium itu ditutup; dan kerja ini disambung kerumah sehingga ke waktu malam tanpa henti. Beliau menulis dalam keadaan penuh ketekunan, banyak membaca, kritikal, teruja dengan setiap lautan buku di perpustakaan sehingga menjejaskan kesihatan dan pernah tidak pernah tidur tiga hingga empat malam harinya. Namun jelas usahanya tidak sia-sia, berjaya menulis buku yang berpengaruh kepada dunia yakni Das Capital pada tahun 1867. Namanya dicatatkan dalam notakaki sejarah pemikiran manusia dengan slogan yang terkenal "Let the ruling classes tremble at a communist revolution. The proletarians have nothing to lose but their chains. They have a world to win. Workers of the world unite!"

No comments: