Monday, April 14, 2008

Magnum Opus Peradaban Melayu.

Bermaksud karya agung sesuatu bangsa yang diwarisi turun-temurun dari sudut kepentingan ilmu dan peradaban bangsa dan dalam kes ini bangsa Melayu. Kita orang Melayu terlalu memuja secara berlebihan kepada budaya luar dan melampaui pengetahuannya berbanding dengan khazanah budaya Melayu itu sendiri. Jika kita mengetahui karya Iliad dan Odyssey itu dari dunia Greek, Aeneid karya Virgil untuk bangsa Rom, Ramayana oleh Valmiki dan Sakunthala oleh Kalidasa dari zaman Veda, Romance of Three Kingdom (Sanguo Yan Yi) dari Middle Kingdom dan senarai karya ini berlarutan ke dunia bawah angin hingga ke atas angin tetapi orang Melayu apakah karya agung kita?


Karya Agung bangsa Melayu terdiri dari dari dua kitab, i) Sejarah Melayu atau Sula-latu 'l-Salatin, yakni peraturan segala raja-raja, karya Tun Seri Lanang atau Tun Muhammad Bendahara Paduka Raja. Beliau mangkat dalam tawanan perang di Acheh semasa Johor ditewaskan oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam.

ii) Hikayat Hang Tuah yang ditulis oleh pengarang yang tidak mahu dituliskan namanya atas dasar kepentingan ilmu lebih utama. Diiktiraf sebagai Epik Peradaban Melayu.

Kedua karya agung ini dinaikkan darjat sebagai khazanah bangsa dan diperakui oleh Unesco.


Namun demikian, berapa keratkah anak-anak muda sekarang yang membaca dan menghayatinya selain dari aliran sastera dan pengkaji peradaban Melayu dan jangan terpegun orang dari Rusia lebih mahir akan kitab ini kerana dikaji secara mendalam dalam jurusan mereka. Memang disedari apa kepentingan karya yang dikatakan tidak relevan pada masa sekarang terutama gaya bahasa klasiknya susah difahami dan terasa lucu apabila cuba dibawa berbicara mengenainya. Mereka jangan lupa bangsa Barat walaupun maju dalam dunia Sains dan Teknologi, tidak pernah lupa mengenai akar umbi peradaban bangsa dan setiap perpustakaan rumah mereka mengandungi karya-karya sebegini dan diwajibkan untuk lulus dalam peperiksaan walaupun bukan beraliran Sastera!. Sekarang bangsa Melayu khususnya sudah mulai lupa akan karya ini dan hasilnya hilang semangat jatidiri dan nasionalisme bangsa sehingga alpa dan tidak tahu apakah itu ketuanan Melayu dan jadilah Melayu liberal secara ironinya. Bangsa Yahudi walaupun dihina berkali-kali sehingga dua kali Haikal Suleiman dibakar oleh Raja Nebuchadrezarr pada tahun 586S.M. dan serangan kedua oleh Emperor Vespasian pada 70A.D., dihalau dari Jerusalem namun masih berpegang kepada tradisi ilmu dan peradaban Yahudi yang berbangga dengan tradisi mereka tanpa melupakannya sama sekali walaupun diaspora di negara asing. Kitab Torah dan Talmud adalah peradaban mereka dibaca berulang-ulang kali untuk mengubat luka yang silam dan merungkai misteri mereka kenapa Yahweh menyingkirkan mereka dari tanah suci mereka. Hasilnya mereka merampas kembali tanah yang dijanjikan kepada mereka itu berpandukan panduan kitab kuno mereka yang dipandang remeh tapi masih ada bersignifikan dan mempunyai kekuatan kerana kepandaian para bijakpandai bangsa Yahudi
ini.


Sejarah Melayu (Sula-latu 'I-Salatin)


Sinopsisnya. Mengisahkan jurai keturunan Raja-Raja Melaka dari Kesultanan Melayu Melaka ini berasal dari keturunan Raja Iskandar Zulkarnain (Alexander The Great) dan diturunkan di Bukit Siguntang Mahameru di Palembang, Sumatera. Dianggap kisah separa Sejarah kerana mengandungi unsur mitos seperti manusia dari dilahirkan dari muntah lembu, kisah Badang, Naga dan Singapura dilanggar todak. Namun ada kepentingan sejarah terutamanya pembukaan Singapura dibuka oleh Sang Nila Utama dan bukannya bangsa Eropah, pembukaan Melaka, hubungan Melaka dengan Alam Melayu, Asia Tenggara, China, India, Arab dan Eropah. Kisah pathos atau unsur sedih yang menyentuh perasaan seperti dalam cetera ke-33 yakni peristiwa pembunuhan sekeluarga Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, Seri Nara Diraja, Tun Hasan Temenggung dan Tun Ali suami kepada Tun Fatimah. Kejadian akibat pakatan (conspiracy) Raja Mendeliar, Laksamana Khoja Hasan dan Si Kitul menfitnah keluarga bendahara ini hendak menderhaka Sultan Mahmud Shah. Raja Melaka ini seperti orang mengantuk disorongkan bantal kerana mengidamkan Tun Fatimah dan berdendam kepada Bendahara tidak menjodohkan anaknya kepada Sultan yang bermata keranjang ini, tanpa usul periksa menjatuhkan hukuman yang zalim ini. Inilah salah satu faktor kejatuhan Melaka ke tangan Portugis kerana Bendahara ini berkarisma tinggi tetapi tidak lama hayatnya kerana intrigue istana. Ramai tidak tahu bahawa walaupun Tun Fatimah telah menjadi permaisuri Melaka, beliau masih tidak sudi memelihara benih Sultan dan melakukan pengguguran kerana bencikan baginda. Kisah Sultan ini dilanjutkan dengan fiil 'yang beraja dimata bersultan dihati' dalam cetera ke-27 kisah peminangan Puteri Gunung Ledang yang penuh dengan unsur wit, humor dan personifikasi untuk menyindir Sultan Mahmud Shah yang menginginkan calon isteri yang luar biasa seperti orang bunian contohnya. Pantun yang indah menyindir Sultan telah dicipta oleh Tun Seri Lanang secara tidak langsung;

Kononya bunga-bunga air mawar di taman Puteri Gunung Ledang pandai berpantun dan berkata kepada Tun Mamat, utusan Sultan lalu berpantun mersik suaranya;


Sana sini gigi menimang,

Hendak makan ikan dalam telaga;

Lagi lemak telur berlinang,

Sisiknya lekat kepada dada.

Maksudnya: Sultan Mahmud Shah ini melupai akan penderitaan rakyat kerana hajat dan nafsunya yang luar biasa ini boleh menyebabkan kesusahan kepada negara.


Bunga tanjung biru pun membelinya;

Dang Nila memangku puan,

Berembang buah pedada,

Adakah gila bagimu tuan?

Burung terbang dipipiskan lada.

Maksudnya: Urusan peminangan ini sudah tentu usaha yang sia-sia kerana sudah tentu akan gagal sama sekali kerana mustahil manusia hendak berkahwin dengan makhluk dialam lain!


Banyak kisah-kisah menarik dipaparkan melalui pembahagian dan jumlah babnya sampai ke cetera ke-34 jumlahnya. Dikatakan dalam hikayat ini, Tun Hasan Temenggung anak Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir adalah orang yang pertama melabuhkan baju Melayu, membesarkan pangkal lengan tangan dan memanjangkan tangannya dalam bab ke-27. Penderhakaan Hang Jebat dan pembuangan Laksamana Hang Tuah pada zaman Sultan Mansur Shah terdapat pada cetera ke-16 yang penuh dengan falsafah politik dan moral, penuh emosi dan kesan yang dramatik. Kesan didaktik atau pengajaran ini masih kekal utuh kepada Weltanschauung orang Melayu. Namun begitu Kesultanan ini dapat membina empayar hampir ke seluruh Asia Tenggara dan mendapat pengiktirafan dari Kerajaan Siam dan China, suatu pencapaian yang mengagumkan. Pelabuhan Melaka dikenali sebagai pelabuhan Emporium di timur dan dicemburui oleh kuasa Portugal, bahasa Melayu menjadi Lingua-Franca dan pusat keintelektualan peradaban Melayu Islam selain dari kerajaan Pasai, Acheh dan di Kepulauan Jawa. Jika tidak kerana kelemahan dalaman dan penaklukan oleh orang Ferringi ini, orang Melayu sudah tentu dikenali sebagai pedagang dan peniaga yang pandai diseluruh dunia!, tetapi terbantut kerana kehilangan kuasa dan tentu menjadi pengajaran berguna kepada masa sekarang ini kerana kekalutan dan perpecahan berada di depan mata kita sekarang.


Demikian sahaja ulasan mengenai Sejarah Melayu ini. Ianya harus dibaca dan diambil teladan kerana pada pendapat sarjana yang mengkajinya ianya seumpama kitab panduan kepada anak watan yang cintakan bangsa dan tanahairnya. wasallam.


"Oh ahli falsafah yang tercinta!

Biarlah kita tangisi dan raungi nasib para ahli falsafah.

Kita masih begitu jauh sekali dari Zaman Keagungan Akal."


kata Diderot mengadu kepada Hume dengan penuh kehampaan, tentang nasib anak bangsanya.


"Those who do not remember the past are condemmed to repeat it"
George Santayana.
Ps. Ikutlah dan patuhilah pesan Tun itu! Berundurlah secara terhormat.

No comments: