Sunday, April 13, 2008

Apakah sebenarnya maksud Ilmu Falsafah?

Adakah falsafah itu dikatakan tidak relevan atau kaitan dengan kehidupan manusia sehari-hari? Kita juga mengambil mudah dengan ilmu falsafah sebagai ilmu yang dikatakan ketinggalan zaman disaat ilmu sains dan teknologi menunjukkan kekuasaanya diabad sekarang ini. Namun begitu manusia akan terus berfalsafah apabila mengemukakan persoalan-persoalan secara spontan seperti "Apakah itu Keadilan? Kebenaran? Kebaikan? Kejahatan? Cinta? dan seumpamanya. Sebagai contoh, kita akan menyoalkan kewajaran Pihak Nazi melakukan Holocaust semasa Perang Dunia Kedua itu bermoral atau tidak? tetapi bagaimana pula dengan tindakan Zionisme terhadap orang Arab di Palestin?. Justeru apabila kita mengemukakan persoalan terhadap perkara yang tidak pasti dan menyiasatnya kita telah memasuki kealam berfalsafah secara tidak disedari. Falsafah adalah berfikir tentang berfikir. Bila manusia berfikir mengenai dirinya dan semangat zamannya atau dikenali sebagai Zeitgeist, maka kita menyedari kita berfikir mengenai bagaimana kita berfikir.Terasa aneh, tetapi itu adalah hakikat sebenarnya.
Definisi Falsafah.
Berasal dari perkataan Yunani, Philo-Sophos yang bermaksud "pencinta kebijaksanaan". Ilmu ini berasal dari tanah kelahiran peradaban Barat yakni Greece atau Yunani. Bagi tanggapan orang Yunani, mereka yang berfalsafah mempunyai kebijaksanaan yang melampaui kemampuan insani. Memiliki kebijaksanaan tidak akan terpukau dengan nafsu dunia, manusia akan mencapai satu macam Nirwana Kefalsafahan, padanya tiada sesuatu yang bermakna yang boleh diperkatakan mengenai apa-apa pun. Socrates, Plato dan Aristotle adalah mahaguru ilmu falsafah yang tidak disangkal lagi sebagai pendiri kepada ketamadunan manusia sejagat. Socrates sebagai bapa falsafah moral, Plato menurut ahli falsafah moden iaitu Alfred North Whitehead telah menyatakan bahawa didalam lembaran buku peradaban Barat semuanya adalah terdiri dari notakaki kepada gagasan Plato,
"The safest general characterization of the whole Western philosophical tradition is that it consists of a series of footnotes to Plato"
Aristotle bapa ilmu pengetahuan dan orang pertama yang membuat pembahagian ilmu pengetahuan kepada pecahan-pecahan berikut seperti logika, kategori-kategori, biologi, fizika, metafizika, etika, politik, puisi. Aristotle malah melampaui ketinggian keilmuan Plato dengan mengatakan "Amicus Plato, sed magis amica veritas" Plato kukasihi, namun aku lebih mengasihi kebenaran. Falsafah ialah suatu perkataan yang digunakan dalam banyak cara dan interpretasinya. Rukun Negara, Pancasila, Declaration of Independence , Declaration des droits de l'homme, Manifsesto Komunis dan gagasan-gagasan yang lainnya adalah falsafah dari sudut falsafah politik. Nilai kecantikan bangunan Parthenon oleh Phidias dipandang dari sudut Estetika iaitu dari falsafah seni. Namun jika kita dilarang memakan khinzir atau melanggar perintah sepuluh rukun iman Ten Commandments ianya telah memasuki ke bidang ilmu teologi (agama).
Falsafah secara lebih jelas menurut Bertrand Russell dalam bukunya History of Western Philosophy adalah "Philosophy, as I shall understand the word, is something intermediate between theology and science". Atau secara lebih jelas ilmu falsafah adalah suatu pertengahan antara bidang teologi dan sains, kedudukannya adalah paksi penimbang dan neraca keadilan antara dua bidang ilmu. Ini disebabkan ilmu sains mengunakan penyelidikan secara reason atau penaakulan manakala ilmu teologi mengandungi spekulasi pengetahuan yang dogmatik, terjadi lompang kosong antara dua cabang ilmu ini yang menjadi kawasan yang terbuka yang terdedah kepada serangan daripada kedua-dua pihak; yakni ilmu falsafah. Bagi Karl Marx, ilmu falsafah bukan sekadar menyediakan idea yang muluk-muluk seperti retorik-retorik politik sekarang ini yang sedang berbulan madu meraikan kemenangan yang tidak pasti dengan mengatakan "Jika kita berkuasa, kita akan mencipta sebuah syurga keadilan!", Menurut Karl Marx dalam bukunya Eleven Theses on Feuerbach, 1845, persoalan sebenarnya kebenaran dan kuasa pemikiran mestilah dibuktikan secara realiti dan praktikal, bukan sekadar agenda didalam pemikiran yang sesat tanpa arah tujuan tetapi telah menyatakan "Philosophers have only interpreted the world in various ways, but the real task is alter it" (Ahli falsafah hanya telah mengulas dunia dengan pelbagai cara, tetapi tugas yang sebenar ialah untuk merubahkannya). Walaupun kita tidak menyetujui dengan idea komunis dan teori Dialetikal Materialisme, namun Karl Marx membuktikan kuasa gagasannya melalui pemikiran falsafah telah membuahkan hasil dan menjadi realiti dan signifikan kepada sejarah abad keduapuluh dengan separuh suku dari penduduk dunia menerima ideologi Marxisme. Satu impak maksima dari kuasa pemikiran seorang pemikir. Jangan memandang rendah akan ilmu kemanusiaan ini sekiranya kita terlalu menumpukan kepada ilmu pasti yakni sains sahaja. Sesungguhnya falsafah dan agama mempunyai kecenderungan melampaui metafizik yakni tidak dapat diperjelaskan dari sudut sains yang terlalu mementingkan fakta dari sudut pandangan pancaindera (emperical). Disini kita amat bersetuju dengan kata Albert Einstein bahawa "Science without religion is lame, religion without science is blind". Para sarjana juga menyatakan bahawa ilmu falsafah ini berguna kepada manusia sebelum turunnya ilmu wahyu dari langit kerana kebanyakan perintis kepada ilmu falsafah seperti Socrates hidup sebelum kelahiran Isa a.s., antara kata-kata hikmatnya 'Aku ini adalah dukun beranak (midwife) yang membantu orang untuk melahirkan. Bukan untuk melahirkan anak, tetapi melahirkan gagasan'. Adapun kita membincangkan topik ini sekadar untuk membuka minda kita akan kepentingan ilmu segala ilmu yang akan membantu kita memahami lebih dalam hakikat kejadian alam dan manusia seiring dengan ilmu agama dan sains itu sendiri. Diakhiri dengan kata ahli sejarawan Rom yang bernama Cassius Dio di dalam bukunya The Roman History: The Reign of Augustus : 'I found Rome built in clay: I leave it to you in marlble'. Kita adalah penentu dan pencorak generasi berilmu di masa hadapan. Didiklah anak watan dengan lebih tekun membaca dan belajar kepada ilmu yang berguna.

1 comment:

emdy said...

wah...kelas isian kedua blog kau. Aku pun tak sempat lagi tulis. teruskan usaha mu itu. hahahahah